Menutup
Aurat Budaya Murni Wanita Muslim
HUKUM wajib menutup aurat tidak boleh
dimansuhkan dengan hujah akal, walau sehebat mana sekalipun logikanya hujah
itu. Ini kerana hukum itu ditetapkan dengan nas yang jelas, yang tidak lagi
boleh di ijtihadkan. Nas yang terang dalam epistemologi Islam, mengatasi akal
rasional, kerana nas itu adalah daripada wahyu yang nyata maksudnya, tidak
memerlukan akal rasional untuk menerangkannya. Apa lagi untuk membatalkan
pengertiannya yang jelas itu. Demikian pendapat MOHD NAKHAIE AHMAD. Ikuti
tulisan beliau.
|
WALAUPUN ada pihak yang bersikap sinis
terhadap pakaian menutup aurat, budaya berpakaian menutup aurat itu sudah
berkembang dan diterima masyarakat. Ramai wanita menerima budaya ini,
termasuk wanita bekerja. Bahkan di Kuala Lumpur, wanita bukan Islam memilih baju
kurung untuk dipakai pada hari tertentu seperti Jumaat. Pakaian ini,
kelihatan lebih sopan dan manis jika dipilih fesyen dan cara berpakaian yang
sederhana. Tetapi kelihatan agak janggal jika aurat ditutup secara melampau,
tanpa menghiraukan kebersihan dan pakaian yang kemas dan rapi.
|
Wanita Islam di negara
ini mula memakai pakaian menutup aurat secara sedar dan beramai-ramai selepas
berkembangnya gerakan dakwah secara teratur di pusat pengajian tinggi pada
awal 70-an. Pada masa itu pengaruh sekularisme dan sosialisme di kalangan
intelektual berada di kemuncaknya. Gerakan Islam, baru saja mengambil tempat
di tengah pertarungan ideologi di kalangan mahasiswa dan golongan terpelajar.
|
Budaya menutup aurat bukanlah berkembang tanpa
tentangan. Saya masih ingat ketika menjadi penasihat agama di ITM, saya
dipanggil oleh pihak pengurusan ITM kerana beberapa pelajar berpakaian
menutup aurat.
|
Saya mempertahankan langkah pelajar itu dengan
menyatakan menutup aurat itu wajib. Jika orang Sikh dibenarkan memakai serban
atas alasan agama, mengapa orang Islam hendak mematuhi kehendak agama mereka,
ditegah dengan pelbagai halangan?
|
Sewaktu saya menyambung pelajaran di Mesir
pada 1976, seorang doktor wanita dari Malaysia yang sedang melawat Mesir
bersama suaminya, merungut mengenai pakaian menutup aurat.
|
Ia menyatakan pakaian itu tidak sesuai kerana
menghalang kemajuan. Saya berkata kepadanya ramai wanita Cina yang bekerja
sebagai buruh di sektor pembinaan menutup seluruh badan mereka sewaktu
bekerja.
|
Tanpa mereka rancangan pembangunan akan
tergendala. Apakah kerana pakaian yang dikatakan berbungkus itu yang
menghalang kemajuan atau pemikiran yang tidak terbuka yang membawa kesusahan?
|
Doktor wanita itu terus memohon izin suaminya
untuk keluar membeli-belah.
|
Ada orang yang begitu percaya kulit tidak
penting dan yang penting ialah isi kerana itu pakaian tidak menunjukkan seseorang
lebih Islam. Soal pakaian adalah perkara remeh.
|
Tetapi orang yang sama begitu membesarkan
wanita memakai pakaian menutup aurat. Jika soal pakaian tidak penting,
biarlah wanita kita memilih apa saja pakaian yang dikehendaki mereka termasuk
berpurdah sekalipun.
|
Tetapi apabila mereka memilih pakaian menutup
aurat pemilihan itu menjadi penting dan dihentam seolah-olah pakaian itu
memberi ancaman kepada sistem kehidupan di negara ini.
|
Kulit dan isi sama penting. Tanpa kulit yang
mengawal, isi akan menjadi busuk. Kulit tanpa isi apalah gunanya. Walaupun
budaya yang dianggap kulit tidak boleh digunakan, tetapi ada peranannya dalam
sistem kehidupan.
|
Yang paling penting ialah kita harus mengetahui
kulit apa. Jika kita kenal kulit durian, kita akan kenal isinya. Jika kita
tidak kenal kulit durian kita mungkin menyangka isi buah lain sebagai isi
durian. Mungkin isi itu memabukkan dan kita pun berkata buah durian itu
memabukkan. Ini mungkin berlaku jika kita menyangka yang penting hanya isi
dan bukan kulit.
|
Pakaian menutup aurat mungkin dianggap kulit.
Tetapi pakaian itu diwajibkan oleh Islam dengan nas yang terang. Orang yang
menutup aurat dengan kesedaran bahawa pakaian seumpama itu diwajibkan oleh
agama, sekurang-kurangnya, akan berasa lapang ia sudah menunaikan salah satu
tuntutan agamanya. Tuntutan yang mudah dan tidak membebankan.
|
Walaupun dengan memakai pakaian menutup aurat
itu, bukanlah bermakna Islamnya sempurna dan bebas daripada kemungkinan
melakukan dosa, namun ia lebih baik daripada orang yang tidak menutup aurat
yang melakukan dosa sepertinya.
|
Pendek kata, memakai pakaian menutup aurat itu
suatu kebaikan dan ia tidaklah boleh dihalang semata-mata kerana ia terdedah
kepada melakukan kejahatan. Dengan memakai pakaian menutup aurat, sebenarnya,
ia terhindar daripada dosa mendedahkan aurat yang dilarang Allah.
|
Melanggar sesuatu hukum yang diperintahkan
Allah, walaupun mengenai pakaian, bukanlah perkara remeh. Mentaati perkara
wajib adalah perkara besar, walaupun dilihat remeh oleh manusia. Allah
berfirman, mafhumnya:
|
"Dan kamu berkata dengan mulut kamu tanpa
kamu mempunyai ilmu mengenai perkara yang kamu katakan itu. Kamu menyangka ia
perkara remeh pada hal di sisi Allah ia adalah besar."
|
(Surah Al-Nur: ayat 15)
|
Menutup aurat, termasuk juga memilih kain yang
tidak menampakkan kulit tubuh untuk membuat pakaian. Fesyen juga, tidak yang
melekat kepada tubuh apabila memakainya sehingga menampakkan bentuk tubuh.
|
Tetapi bukanlah mesti jenis pakaian yang tebal
sehingga tidak sesuai dengan iklim dan tidak pula longgar sehingga langsung
tidak sesuai dengan keadaan. Pakaian menutup aurat bukan pula tidak mengambil
kira keperluan supaya kelihatan ringkas dan kemas.
|
Budaya menutup aurat yang dikehendaki Islam,
bukanlah budaya selekeh seperti yang diamalkan oleh sesetengah wanita dan
lelaki Islam. Ia adalah pakaian yang sederhana. Pakaian yang berada antara
fesyen yang menggiurkan dengan pakaian selekeh, melucukan, dan tidak sesuai
dengan keadaan sehingga dibenci dan dicemuh.
|
Pakaian Islam tidak menolak perlunya
penampilan yang cantik dan bergaya. Pernah Rasulullah saw berbicara mengenai
sifat takbur. Rasulullah saw bersabda:
|
"Tidak masuk syurga seorang yang memiliki
dalam hatinya sedikit saja daripada sifat bongkak."
|
Seorang sahabat berkata:
|
"Sebagaimana si polan yang pakaiannya
cantik dan kasutnya cantik."
|
Sahabat itu merujuk kepada pakaian yang cantik
dan penampilan yang bergaya itu sebagai simbol kebongkakan. Rasulullah saw
membetulkan salah faham itu dengan berkata:
|
"Sesungguhnya Allah itu indah dan suka
kepada keindahan. Sifat bongkak ialah menghalang kebenaran dan memandang
rendah terhadap manusia."
|
Hukum wajib menutup aurat tidak lagi boleh
dimansuhkan dengan hujah akal, bagaimanapun lojiknya hujah itu. Ini kerana
hukum itu ditetapkan dengan nas yang jelas yang tidak lagi boleh
diijtihadkan.
|
Nas yang terang dalam epistemologi Islam,
mengatasi akal rasional, kerana nas itu adalah daripada wahyu yang nyata
maksudnya, tidak memerlukan akal rasional untuk menerangkannya. Apalagi untuk
membatalkan pengertiannya yang jelas itu.
|
Sungguhpun begitu, akal rasional, boleh
meneliti hikmah di sebalik kewajipan itu untuk menambahkan keyakinan terhadap
kebenaran hukum yang telah ditetapkan oleh nas. Tetapi bukan untuk meminda
atau merombak hukum itu dan menggantikannya dengan yang semata-mata
berdasarkan hujah rasional.
|
Salah satu hikmah kewajipan menutup aurat itu
ialah untuk melindungi diri wanita daripada jenayah seks. Tetapi ini,
bukanlah faktor sebenarnya yang hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Ini hanya
sebahagian daripada hikmah yang dapat ditanggapi akal rasional sebagai sebab
kewajipan menutup aurat itu ditetapkan. Hujah, kononnya faktor menutup aurat
itu ialah untuk mencegah kegelojohan seks di kalangan masyarakat jahiliah dan
keadaan seperti itu tidak ada lagi pada zaman ini, bukan saja tidak relevan,
tetapi juga tidak lojik.
|
Siapakah yang dapat menentukan kegelojohan
seks pada zaman ini sudah tiada lagi. Pada hal pada zaman Jahiliah, zina
tidak berlaku di kalangan wanita yang dianggap bertaraf mulia. Hanya wanita
yang dianggap bertaraf rendah saja yang mengadakan hubungan seks di luar
perkahwinan.
|
Walaupun pasangannya, mungkin lelaki daripada
kelas atasan. Sekarang, wanita kelas atasan juga terbabit dalam melakukan
zina. Dalam keadaan ini bolehkah dianggap kegelojohan seks di zaman ini lebih
rendah dan lebih terkawal daripada di zaman jahiliah?
|
Di samping hujah yang tidak logik dan tidak
relevan digunakan untuk menyerang pakaian menutup aurat, tidak ada bukti
kukuh yang pakaian menutup aurat itu menghalang kemajuan. Banyak wanita
terpelajar sekarang memakai pakaian menutup aurat. Mereka maju dan mereka
bekerja dengan gigih. Bahkan mereka turut menjadi penggerak kemajuan.
|
Tidak ada komentar:
Posting Komentar